Kebanyakan kayak terpakai yang dibawa ke bengkel kami ada lebih banyak lubang daripada aksesori. Pemiliknya beli pemegang joran dahulu, pasang di tempat yang nampak cantik, kemudian sedar tak boleh capai joran tanpa memusing badan dan hampir terbalik. Lubang lama itu kemudian ditampal dengan silikon, dan silikon ialah punca nombor satu kompartmen berair.
Peraturan pertama kami mudah: sebelum gerudi, letak kayak di atas lantai, duduk di kerusi dalam posisi mengayuh, dan hulur tangan. Apa yang tak dapat dicapai dengan sebelah tangan tanpa memusing pinggang, jangan pasang di situ. Lepas itu baru kita bincang lima kedudukan yang betul-betul digunakan.
1. Trek kiri dan kanan di sisi kerusi
Dua trek 30 cm di kiri dan kanan, bermula kira-kira sejengkal di depan lutut. Di sinilah pemegang joran laras untuk joran yang sedang digunakan, kerana abang boleh capai dan angkat joran sambil mata masih pada air. Trek memberi pilihan untuk alih pemegang ke depan semasa tunda atau ke belakang semasa casting.
2. Rod pod di belakang kerusi
Joran ganti duduk tegak dalam rod pod di krat belakang. Kedudukan tegak penting supaya joran tidak terkena dayung dan tidak tersangkut pada dahan bakau. Untuk kayak 3 meter, dua joran ganti sudah cukup; lebih daripada itu biasanya hanya menambah berat.
3. Sonar di depan, di tengah
Skrin sonar perlu di depan dan lurus dengan mata. Wayar dari transduser masuk melalui lubang scupper atau lengan transduser dan dibawa ke kompartmen bateri dengan pengedap kabel. Melissa selalu letak bateri litium dalam beg kering kecil di dalam kompartmen, walaupun kompartmen itu dikatakan kalis air.
4. Titik sauh di buritan, melalui troli
Pasang padeye troli sauh di sisi kayak, bukan di haluan. Dengan troli, abang boleh alih titik sauh ke buritan supaya kayak menghala ikut arus dan joran menghala ke lubuk. Kami terangkan lebih lanjut dalam panduan ketiga di bawah.
5. Lampu isyarat di belakang, paling tinggi
Lampu tiang 360° patut menjadi titik paling tinggi pada kayak supaya bot lain nampak dari semua arah. Pasang pada trek belakang atau kepala krat, dan uji sebelum subuh di tempat letak kereta, bukan di tengah air.
Semua lima kedudukan ini boleh dicapai dengan empat batang trek dan satu krat. Kalau ragu, hantar gambar kayak abang dari atas dan dari sisi; Hafiz akan lakar susun atur yang dicadangkan secara percuma, sama ada abang beli aksesori daripada kami atau tidak.